Pembetulan Kisah Saudah Bt Zam’ah r.ha Yang Kononnya Ingin Diceraikan Oleh Nabi s.a.w

VIDEO – Pembetulan Kisah Saudah Bt Zam’ah r.ha – Maulana Asri Yusoff

AUDIO – Dengar “On-line” Atau Muat Turun

Kisah 1

Diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitab “Sahih”nya iaitu hadith yang ketiga dari [بَاب فِي الْقَسْمِ بَيْنَ النِّسَاءِ ] Bab – Tentang Giliran Di Antara Isteri, berikut adalah sanad dan matan hadith tersebut:

1823 – حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ يُونُسَ حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّحْمَنِ يَعْنِي ابْنَ أَبِي الزِّنَادِ عَنْ هِشَامِ بْنِ عُرْوَةَ عَنْ أَبِيهِ قَالَ قَالَتْ عَائِشَةُ

يَا ابْنَ أُخْتِي كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يُفَضِّلُ بَعْضَنَا عَلَى بَعْضٍ فِي الْقَسْمِ مِنْ مُكْثِهِ عِنْدَنَا وَكَانَ قَلَّ يَوْمٌ إِلَّا وَهُوَ يَطُوفُ عَلَيْنَا جَمِيعًا فَيَدْنُو مِنْ كُلِّ امْرَأَةٍ مِنْ غَيْرِ مَسِيسٍ حَتَّى يَبْلُغَ إِلَى الَّتِي هُوَ يَوْمُهَا فَيَبِيتَ عِنْدَهَا وَلَقَدْ قَالَتْ سَوْدَةُ بِنْتُ زَمْعَةَ حِينَ أَسَنَّتْ وَفَرِقَتْ أَنْ يُفَارِقَهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَا رَسُولَ اللَّهِ يَوْمِي لِعَائِشَةَ فَقَبِلَ ذَلِكَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْهَا قَالَتْ نَقُولُ فِي ذَلِكَ أَنْزَلَ اللَّهُ تَعَالَى وَفِي أَشْبَاهِهَا أُرَاهُ قَالَ { وَإِنْ امْرَأَةٌ خَافَتْ مِنْ بَعْلِهَا نُشُوزًا }

Ahmad bin Yunus telah meriwayatkan kepada kami, katanya: ‘Abd al-Rahman iaitu Ibnu Abi az-Zinad telah meriwayatkan kepada kami daripada Hisyam bin ‘Urwah daripada ayahnya, katanya: “Aisyah berkata:

“Wahai anak saudara perempuanku. Rasulullah s.a.w tidak melebihkan sebahagian kami daripada sebahagian yang lain dalam pembahagian giliran berada di samping kami. Jarang sekali berlalu satu hari melainkan Baginda akan datang kepada kami semua. Baginda akan mendekati isterinya tanpa melakukan persetubuhan sehingga sampai kepada isteri yang mempunyai hari giliran itu barulah Nabi s.a.w bermalam di sisinya. Saudah Binti Zam’ah apabila beliau telah berumur (tua) dan dia takut Rasulullah s.a.w akan mencerainya dia berkata: “Wahai Rasulallah! Giliran hariku ku berikan untuk “Aisyah. Rasulullah s.a.w menerimanya daripadanya: Kata “Aisyah: Kami selalu berkata: “Berhubung dengan Saudah ini dan orang-orang sempamanya Allah menurunkan firmannya, saya rasa perawi berkata (iaitu firman yang Allah turunkan), :

{ وَإِنْ امْرَأَةٌ خَافَتْ مِنْ بَعْلِهَا نُشُوزًا } {Jika seorang perempuan takut / bimbang dengan sikap tidak mahu menggaulinya / sikap keras / tidak acuh  suaminya}.

Kebanyakan nuskhah tersalah cetakan pada hadith ini dengan lafaz وَكَانَ كُلَّ يَوْمٌ sedangkan yang sahihnya adalah وَكَانَ قَلَّ يَوْمٌ sebagaimana hadith di atas dan Imam Ahmad meriwayatkan dengan lebih jelas dalam kitab Musnadnya:

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا مِنْ يَوْمٍ إِلَّا وَهُوَ يَطُوفُ عَلَيْنَا جَمِيعًا امْرَأَةً امْرَأَةً فَيَدْنُو وَيَلْمِسُ مِنْ غَيْرِ مَسِيسٍ حَتَّى يُفْضِيَ إِلَى الَّتِي هُوَ يَوْمُهَا فَيَبِيتَ عِنْدَهَا

Daripada ‘Aisyah: Tidak ada satu hari pun melainkan Rasulullah akan datang kepada kami semua, seorang demi seorang isterinya lalu dia mendekati dan menyentuh tanpa melakukan persetubuhan sehingga membawanya pergi kepada isteri yang hari tersebut adalah gilirannya lalu baginda bermalam di sisinya.

Kedua-dua hadith ini sama dari segi maksud dan pengajarannya, cuma sedikit berbeza pada lafaz yang digunakan. Cuma pada hadith riwayat Imam Muslim ada lafaz yang boleh menjelaskan kedudukan Rasulullah s.a.w kerana menampakkan peribadi Rasulullah yang tidak elok. Lafaz tersebut adalah:

وَلَقَدْ قَالَتْ سَوْدَةُ بِنْتُ زَمْعَةَ حِينَ أَسَنَّتْ وَفَرِقَتْ أَنْ يُفَارِقَهَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَا رَسُولَ اللَّهِ يَوْمِي لِعَائِشَةَ فَقَبِلَ ذَلِكَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْهَا

Saudah Binti Zam’ah apabila beliau telah berumur (tua) dan dia takut Rasulullah s.a.w akan menceraikannya dia berkata: “Wahai Rasulullah! Hari giliranku keberikan untuk ‘Aisyah. Rasulullah s.a.w. menerimanya daripadanya.

Dari sudut dirayah, apa-apa lafaz yang menggambarkan Rasulullah dengan peribadi atau sifat yang tidak elok hendaklah ditolak atau ditakwil sekiranya masih boleh ditakwilkan. Sekiranya tidak, maka wajib diketepikan sahaja.

Lafaz di atas seolah-olah menggambarkan Rasulullah seorang yang mementingkan diri sendiri dan hanya mendampingi isterinya yang muda dan cantik sahaja. Dia mungkin akan melakukan sesuatu yang membuatkan isterinya tersisih dan boleh jadi apabila Baginda sudah tawar hati pada isterinya maka ada kemungkinan Baginda akan menceraikannya. Apakah pengajaran daripadanya? Mungkin ada yang akan menceraikan isterinya apabila isterinya sudah tua atau tawar hati padanya dan perbuatan ini tidak menjadi kesalahan kerana ianya adalah ‘sunnah’!

Pertama: Dan kata-kata Saudah, “Hari giliranku ku berikan untuk ‘Aisyah” menunjukkan Saudah tidak ikhlas. Dia melakukannya kerana terpaksa, kerana dia menyebutnya,  takut diceraikan oleh Rasulullah s.a.w. Sehingga begitu sekali pengorbanan seorang perempuan tua untuk mengambil hati suaminya supaya tidak diceraikan! Sebelum ini apa yang Saudah buat untuk Rasulullah? Bukankah beliau juga sudah berkorban menjaga Rasulullah sebagaimana isteri-isterinya yang lain.  Apabila sudah sampai ke peringkat ini, oleh kerana takut diceraikan, maka dia terpaksa memberikan gilirannya kepada orang lain. Benarkah ia begitu?

Kalau berdasarkan riwayat tadi,  Rasulullah s.a.w.  terima tawaran dari Saudah r.ha. Sekiranya kita kaitkan dengan istilah ‘nusyuz’ dalam firman Allah tadi seolah-olahnya Rasulullah bersikap tak acuh atau tidak mahu tidur bersamanya. Ini menyebabkan Saudah merasa takut dan bimbang. Dan Baginda seolah-olah menunggu-nunggu saat tersebut.

Hadith ini menggambarkan kekurangan atau rendah peribadinya Rasulullah s.a.w yang berkepentingan duniawi dan begitu juga isterinya. Ianya juga menggambarkan Baginda seorang yang kejam dan zalim, tidak menjaga hati orang lain serta tidak memperdulikan perasaan orang lain sehinggakan isteri hanya untuk masa suka-suka dan apabila sudah tua atau layu maka boleh dibuang begitu sahaja!

Lebih parah ianya dikaitkan pula dengan ayat,  وَإِنْ امْرَأَةٌ خَافَتْ مِنْ بَعْلِهَا نُشُوزًا, “Jika seorang perempuan takut / bimbang dengan sikap tidak mahu menggaulinya / sikap keras / tidak acuh  suaminya”.

Ayat ini seolah-olah menyuruh sesiapa yang dimadukan suaminya mencontohi Saudah iaitu apabila sudah tua dan suami pula sudah tawar hati padanya maka dia hendaklah memberikan gilirannya kepada madunya ya’ni isteri suaminya yang lain yang lebih muda.

Manakala bagi pihak suami pula, dia boleh memperlihatkan sikap kasar, bermasam muka dengan isteri, tidak menggaulinya dan bersikap acuh tidak acuh untuk memberi isyarat kepada isterinya supaya memberikan gillirannya kepada isterinya yang lain.

Kalau kita andaikan apabila seorang suami sudah tua, sakit ataupun lumpuh dan si isteri sudah tawar hati padanya maka bolehkah bagi si isteri bersikap kasar, bermasam muka, bersikap tidak acuh dan tidak menggauli suaminya supaya suaminya faham kehendak isterinya yang mahukan perceraian? Apa perasaan kita sekiranya ini berlaku?

Ayat tadi biasanya dikaitkan dengan perempuan sahaja supaya mereka mengalah dan berkorban yang mana menjadikan kisah tadi sebagai panduan. Bagaimanapun, pernahkah kita persoalkan adakah kisah tadi mempunyai asas? Pernahkah dikaji dan diteliti kesahihannya? Inilah senario yang biasa berlaku dalam masyarakat apabila banyak kecelaruan masyarakat berpunca dari kegagalan dalam memahami hadith. Lalu Rasulullah s.a.w dilihat sebagai seorang yang kejam, menganiayai kaum perempuan  dan tidak memperdulikan perasaan isterinya. Inilah yang terjadi apabila tiada kajian kritis terhadap hadith-hadith Nabi s.a.w. yang menimbulkan kemusykilan seperti ini.

Kisah 2

Kisah pertama hanya menyatakan kerisauan Saudah yang bimbang takut-takut diceraikan Rasulullah s.a.w tetapi dalam sesetengah riwayat menyatakan Rasulullah memang menceraikannya menyebabkan Saudah sedih lalu apabila Baginda lalu di jalan  beliau pun pergi memeluk kaki Baginda dan merayu-rayu supaya dirujuk semula. Apa yang dia mahu hanyalah menjadi isteri Rasulullah s.a.w tetapi Baginda tidak memperdulikannya. Lalu Saudah pun menawarkan gilirannya kepada ‘Aaisyah.

Dari kisah ini, seolah-olah Rasulullah s.a.w suka sangat (sangat melebihkan) kepada ‘Aaisyah sehinggakan apabila ditawarkan giliran kepada ‘Aaisyah barulah Baginda melayani kehendak Saudah. Adakah begini sifat Rasulullah s.a.w?

Dalam kitab “Talqiyah” Saudah diceraikan pada tahun kelapan  dan Nabi rujuk kembali apabila dia merayu dan penulis cuba kompromikan antara riwayat ini dengan riwayat Abu Daud iaitu talak itu adalah talak raj’ie dan Saudah takut perceraian itu berlanjutan sehingga habis ‘iddah.

Jadi yang mana satukah yang betul? Adakah Saudah diceraikan atau tidak?

Kesimpulan

Sebenarnya tidak wujud pun kisah-kisah seperti ini. Apa yang ada hanyalah seperti yang diriwayatkan dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim dan juga salah satu riwayat Imam Abu Daud iaitu Saudah memberikan gilirannya kepada ‘Aaisyah dan Rasulullah menerimanya secara baik. Itu sahaja. Manakala ‘kerisauan’ untuk diceraikan kerana beliau sudah tua ataupun takut habis ‘iddah kerana sudah diceraikan adalah waham  (kekeliruan) perawi semata-mata.

Manakala Saudah sebenarnya memberikan gilirannya kepada ‘Aaisyah adalah kerana kasihan belas dan kemurahan hatinya. Sifat sebegini adalah yang munasabah dan sesuai dengan peribadi isteri-isteri yang terdidik dengan didikan Rasulullah s.a.w.

Sedikit perbincangan tentang perawi hadith:

`Abd al-Rahman Ibnu Abi az-Zinad:

  • Ramai ulama` mempertikaikannya
  • Imam Malik mengatakannya tsiqah tetapi dalam istilah ilmu  hadith kategori  tsiqah belum tentu lagi menjadi hujjah (ya’ni boleh dijadikan pegangan). Apatah lagi apabila kita mengambil kira pendapat orang-orang lain yang mempertikaikannya.
  • Imam al-Bukhari juga mengambil riwayat daripadanya tetapi bukan sebagai riwayat usul (riwayat utama) tetapi hanya sebagai syawahid (ya’ni hanya sebagai sokongan) sahaja.
  • Begitu juga dengan Imam Muslim yang hanya meriwayatkan dalam “Muqaddimah” Muslim sahaja dan bukannya dalam riwayat usul.

Sepintas lalu penilaian dari segi dirayah:

  1. Kisah-kisah tadi memburukkan peribadi Rasulullah s.a.w.
  2. Adakah benar Saudah benar-benar tua? Berapakah sebenarnya umurnya? Kebanyakan ulama’ termasuk Imam al-Bukhari dan Ibnu ‘Abdil Barr mengatakan bahawa Saudah wafat pada tahun 22 Hijrah (iaitu di akhir pemerintahan Saidina `Umar). Itulah pendapat yang dikatakan sahih. Tetapi sebahagian ulama’ mengatakan dia wafat pada tahun 54 iaitu di zaman pemerintahan Saidina Muawiyah. Sekiranya kita andaikan beliau bernikah dengan Nabi, dua atau tiga tahun selepas kewafatan Saidatina Khadijah (Saidatina Khadijah wafat pada tahun 10 kenabian), maka  Baginda menikahi Saudah pada tahun ke-13 semasa umurnya 30 tahun. Selepas itu beliau tinggal bersama dengan Nabi s.a.w selama 10 tahun; maka ketika wafatnya Baginda beliau baru berumur 40 tahun. Maka apakah patut diperlakukan demikian kerana umurnya telah mencapai 40 tahun? Adakah umur 40 tahun itu dikategorikan sebagai  tua?
  3. Sekiranya beliau diceraikan kerana sakit tua atau seumpamanya maka ianya tidak masuk akal kerana Rasulullah s.a.w adalah seorang yang berperibadi mulia akan bertindak demikian kerana baginda seorang yang penyayang maka sudah tentu orang sakit lebih patut dikasihani dan bukannya diceraikan.

Apa yang sepatutnya kita lakukan?

Apabila kita temui riwayat-riwayat seumpama ini maka hendaklah kita tinggalkan.

Kita hendaklah menjaga nama baik Rasulullah lebih dari menjaga nama baik Imam Abu Daud, Ibnu Abi az-Zinad atau mana-mana perawi.

Tujuan mewujudkan sanad, kitab hadith dan ilmunya adalah untuk menjaga nama baik Rasulullah dari tercalar. Wallahu a`lam.

~ Adaptasi & Sinopsis oleh Ibnuhasan

Sumber: http://sukahadis.blogspot.my/2013/01/pembetulan-kisah-ummul-mukminin-saudah.html

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s