Peperangan Antara Sahabat-Sahabat Nabi: Suatu Penilaian Saksama

١١٦ (٦٤)- حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ بَكَّارِ بْنِ الرَّيَّانِ وَعَوْنُ بْنُ سَلَّامٍ قَالَا حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ طَلْحَةَ ح و حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ الْمُثَنَّى حَدَّثَنَا عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ مَهْدِيٍّ حَدَّثَنَا سُفْيَانُ ح و حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ الْمُثَنَّى حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ جَعْفَرٍ حَدَّثَنَا شُعْبَةُ كُلُّهُمْ عَنْ زُبَيْدٍ عَنْ أَبِي وَائِلٍ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ قَالَ :قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سِبَابُ الْمُسْلِمِ فُسُوقٌ وَقِتَالُهُ كُفْرٌ

قَالَ زُبَيْدٌ فَقُلْتُ لِأَبِي وَائِلٍ أَنْتَ سَمِعْتَهُ مِنْ عَبْدِ اللَّهِ يَرْوِيهِ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ نَعَمْ وَلَيْسَ فِي حَدِيثِ شُعْبَةَ قَوْلُ زُبَيْدٍ لِأَبِي وَائِلٍ

Muhammad bin Bakkar bin al-Rayyan dan ‘Aun bin Sallam telah meriwayatkan kepada kami, mereka berdua berkata: Muhammad bin Tolhah telah meriwayatkan kepada kami ح dan Muhammad bin al-Mutsanna telah meriwayatkan kepada kami, katanya: ‘Abd al-Rahman bin Mahdi telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Sufyan telah meriwayatkan kepada kami ح dan Muhammad bin al-Mutsanna telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Muhammad bin Ja’far telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Syu’bah telah meriwayatkan kepada kami, mereka semua telah meriwayatkan daripada Zaid daripada Abi Wa’il daripada ‘Abdillah bin Mas’ud, katanya: “Rasulullah s.a.w bersabda: “Memaki orang Islam adalah kefasiqan dan memeranginya/ membunuhnya adalah kekufuran”. (Riwayat Muslim)

Zubaid berkata: Aku pun berkata kepada Abu Wa’il: Engkau dengar hadith ini daripada `Abdullah meriwayatkannya daripada Nabi s.a.w?”. Abdullah bin Mas’ud menjawab: Ya! Tetapi dalam hadith Syu’bah tidak ada kata Zubair kepada Abu Wa’il.

٢٢٣] ١١٨ (٦٥)- حَدَّثَنَا أَبُو بَكْرِ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ وَمُحَمَّدُ بْنُ الْمُثَنَّى وَابْنُ بَشَّارٍ جَمِيعًا عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ جَعْفَرٍ عَنْ شُعْبَةَ ح و حَدَّثَنَا عُبَيْدُ اللَّهِ بْنُ مُعَاذٍ وَاللَّفْظُ لَهُ حَدَّثَنَا أَبِي حَدَّثَنَا شُعْبَةُ عَنْ عَلِيِّ بْنِ مُدْرِكٍ سَمِعَ أَبَا زُرْعَةَ يُحَدِّثُ عَنْ جَدِّهِ جَرِيرٍ قَالَ :قَالَ لِي النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي حَجَّةِ الْوَدَاعِ اسْتَنْصِتْ النَّاسَ ثُمَّ قَالَ لَا تَرْجِعُوا بَعْدِي كُفَّارًا يَضْرِبُ بَعْضُكُمْ رِقَابَ بَعْضٍ
Abu Bakr bin Abi Syaibah, Muhammad bin al-Mutsanna dan Ibnu Basysyar telah meriwayatkan kepada kami semuanya daripada Muhammad bin Ja’far daripada Syu’bah ح dan ‘Ubaidullah bin Muaz telah meriwayatkan kepada kami dan lafaz hadith adalah daripadanya, katanya: Ayah saya telah meriwayatkan kepada kami, katanya: Syu’bah telah meriwayatkan kepada kami daripada ‘Ali bin Mudrik, beliau mendengar Abu Zur’ah meriwayatkan daripada datuknya Jarir, beliau berkata: “Nabi s.a.w berkata kepadaku dalam Haji Wada’: “Diamkan orang ramai!”. Kemudian Baginda pun bersabda: “Jangan kamu kembali menjadi kafir sesudahku di mana sebahagian kamu memenggal leher sebahagian yang lain”. (Riwayat Muslim)

Berkemungkinan akan timbul kemusykilan berhubung hadith-hadith seumpama ini yang merujuk kepada Sahabat-sahabat yang saling berperang dan dalam peperangan lazimnya yang berlaku adalah saling berbunuhan dan bagaimanakah ini boleh berlaku kepada para Sahabat?

Penjelasan:

Daripada hadith-hadith seperti di atas ttimbulnya beberapa puak (yang lebih kurang sama fahamannya) yang  mengkafirkan Sahabat-sahabat Nabi s.a.w. Sebahagiannya, seperti golongan Syiah,  mengkafirkan golongan Sahabat yang berada di pihak Muawiyah dan Aisyah r.ha.  Manakala sebahagian lagi, seperti golongan Khawarij,  menolak kedua-duanya (golongan Ali dan Muawiyah) serta menghukum mereka yang berperang sebagai kafir. Golongan Syiah dan Khawarij ini memutar belitkan kenyataan dan mengambil kesempatan menjadikan hadith ini sebagai dalil dalam membenarkan fahaman mereka yang sesat lagi menyesatkan.

Fahaman tersebut (menkafirkan Sahabat rhum) adalah salah sama sekali. Dikhuatiri  mereka yang tidak ada fahaman yang mendalam dalam hadith turut terperangkap dalam tipudaya yang dirancang oleh musuh Islam ini.

Dalil-Dalil Mengapa Fahaman Mengkafirkan Sahabat rhum Berdasar Hadith-hadith Di Atas Adalah Salah

1) Jika diperhatikan, tidak ada satupun hadith yang diriwayatkan menunjukkan Sahabat-sahabat saling mengkafirkan sesama mereka semasa atau selepas peperangan antara mereka. Begitu juga semasa pertelingkahan berlaku. Tidak ada satupun riwayat yang sahih yang menunjukkan pengkafiran berlaku.

2) Dalil dari al-Quran:

وَإِنْ طَائِفَتَانِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اقْتَتَلُوا فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا فَإِنْ بَغَتْ إِحْدَاهُمَا عَلَى الْأُخْرَى فَقَاتِلُوا الَّتِي تَبْغِي حَتَّى تَفِيءَ إِلَى أَمْرِ اللَّهِ فَإِنْ فَاءَتْ فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا بِالْعَدْلِ وَأَقْسِطُوا إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ
Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. [al-Hujuraat: 9]

Ayat ini jelas menyatakan perintah supaya berdamai dan tidak ada menyebutkan tentang pengkafiran mana-mana pihak yang berperang sebaliknya menyebutkan “jika dua puak dari orang-orang beriman”.

3) Orang yang membunuh di zaman Nabi s.a.w hanya diqishash (bunuh balas) kemudian disembahyangkan dan disemadikan di tanah perkuburan Islam. Tidak ada larangan untuk menyembahyangkan atau menyemadikan di tanah perkuburan Islam. Sekiranya mereka terkeluar dari Islam   maka sudah tentu Baginda s.a.w akan melarang sekeras-kerasnya dari disembahyangkan dan disemadikan di tanah perkuburan Islam.

4) Selain itu juga terdapat hadith yang mengatakan sesiapa yang mengucapkan “La ila ha illallah” maka dia masuk syurga dan terdapat sekian banyak hadith yang menunjukkan orang yang melakukan dosa besar  tidak menjadi kafir dan inilah pendapat yang dipegang oleh Ahlus Sunnah Wal Jama’ah.

5) Hadith-hadith yang menunjukkan Sahabat-sahabat ini dijamin syurga termasuklah Muawiyah sebagai penulis wahyu, hadith ahli Badar yang dijamin syurga dan lain-lain lagi.

Tuduhan Semata-Mata

Bagi mereka yang sememangnya membenci para Sahabat, kesempatan ini digunakan untuk menunjukkan bahawa Sahabat bukanlah golongan yang baik kerana keluar memberontak dan berperang menentang Saidina ‘Ali yang menjadi khalifah pada masa itu.

Mereka juga menuduh  Aisyah r.ha,  walaupun  seorang perempuan, tetap keluar berperang kerana gilakan kuasa. Inilah yang sering diungkapkan oleh para sejarawan Syiah dan mereka yang terpengaruh dengannya.

Penjelasan

Padahal apa yang terjadi adalah kekeliruan angkara  perangkap yang berjaya dipasang oleh  pihak “musuh dalam selimut”. Musuh-musuh dalam selimut  ini telah berjaya menyelinap ke dalam kedua-dua pihak ya’ni pihak ‘Aisyah dan Muawiyah serta pihak ‘Ali kemudian menyamar sebagai pengikut kepada kedua-dua pihak.

Pihak Saidina Ali dan Muawiyah ini pada mulanya sudahpun bersepakat untuk mengadakan perdamaian dan rundingan dalam perkara yang menjadi pertelingkahkan  iaitu kes pembunuhan khalifah terdahulu {Saidina Utsman).

Puncanya pertelingkahan adalah apabila Saidina ‘Ali berpendapat supaya bai’ah dahulu kepadanya dan kemudian baru dibicarakan tentang kes pembunuhan Saidina Utsman. Selepas Saidina ‘Ali menjadi khalifah maka ramai dari kelompok penyokong Saidina ‘Ali (yang sebenarnya berpura-pura menyokong Saidian Ali) mengaku bahawa merekalah yang membunuh Saidina Utsman. Sesetengah ahli sejarah mengatakan bilangan mereka mencapai puluhan ribu orang dan ini menyebabkan Saidina ‘Ali serba salah  kerana baginya yang perlu dibunuh adalah ketua perancang pembunuhan tersebut.

Manakala bagi pihak Saidina Muawiyah pula mengatakan tidak boleh melakukan ba’ah dahulu kerana pembunuh Saidina Utsman menyusup “di belakang Saidina ‘Ali” dan berpura-pura menjadi pengikut setia Saidina `Ali.  Bahkan, pembunuh sebenar Khalifah Utsman adalah  antara orang yang mula-mula berbai’ah kepada Saidina ‘Ali,  kerana dia tahu hanya dengan berbai’ah kepada Saidina Ali  dia akan selamat.

Pihak  Saidina Ali dan Saidina Muawiyah kemudiannya mula mencari kata sepakat dengan mengadakan perjumpaan dan rundingan.  Kumpulan pembunuh Saidina Utsman  mengetahui rancangan perdamaian  ini menyebabkan  mereka menjadi takut dan sekiranya mereka ditangkap sudah tentu mereka akan dihukum. Lalu mereka merancang supaya kedua-dua pihak saling berperang. Mereka membentuk dua kumpulan di mana satu kumpulan dari mereka menyusup ke dalam kumpulan Saidina Muawiyah dan satu kumpulan lagi kekal dalam pihak Saidina ‘Ali.

Kemudiannya, apabila sudah lewat malam, di kala orang lain  nyenyak tidur, kedua-dua kumpulan  pembunuh Saidian Utsman ini   keluar dan saling meyerang  satu sama lain.

Pihak Saidina Ali dan Muawiyah  terpinga-pinga dengan kekecohan tersebut lalu keluar dalam keadaan kelam kabut dan mengangkat senjata untuk mempertahankan diri.  Begitulah tercetusnya  sebuah peperangan yang tidak disengajakan. Ianya berlaku kerana  kekeliruan dan tanpa niat dan perancangan dari kedua-dua pihak. Peperangan ini  dinamakan sebagai perang Jamal.

Salah satu hadith tentang siapakah penderhaka

Antara  hadith yang menjadi dalil mereka yang berpihak kepada Saidina Ali adalah:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَبْشِرْ عَمَّارُ تَقْتُلُكَ الْفِئَةُ الْبَاغِيَةُ

Daripada Abu Hurairah r.a katanya: Sabda Rasulullah s.a.w: “Berikan berita gembira buat ‘Ammar! Kamu akan dibunuh oleh puak penderhaka”. (Riwayat at-Tirmizi, al-Bukhari dan Muslim dengan lafaz yang lebih kurang sama maknanya)

Ammar  berada di pihak Saidina ‘Ali dan dia  mati dalam peperangan itu. Ada yang membuat kesimpulan bahawa “Pihak  penderhaka” yang dimaksudkan oleh Nabi s.a.w dalam hadith di atas  ialah  pihak Muawiyah dan ‘Aisyah dan  ini menunjukkan pihak Muawiyah adalah di pihak yang salah.

Penjelasan siapakah sebenarnya “pihak penderhaka”

Kalau begitu maka bagaimana pula kedudukan  Saidina Zubair dan Talhah rhum   yang berada di pihak Saidina Mu’awiyah dan Saidatina ‘Aisyah?   Sabda Nabi s.a.w:

قَالَ عَلِيٌّ : وَاللَّهِ لَيَدْخُلَنَّ قَاتِلُ ابْنِ صَفِيَّةَ النَّارَ إِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ : إِنَّ لِكُلِّ نَبِيٍّ حَوَارِيًّا وَحَوَارِيَّ الزُّبَيْرُ
‘Ali berkata: Demi Allah! Pembunuh Ibnu Sofiyyah (Zubair) pasti akan masuk neraka. Sesungguhnya aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Bagi setiap nabi itu ada hawarinya (pendukung/pengikut setianya) dan hawari aku adalah Zubair” (Musnad al-Toyalisi)

Terbukti bahawa pihak yang membunuh Zubair itu adalah dari pihak Saidina ‘Ali. Apakah kita hendak mengatakan pihaknya pula adalah pihak yang salah? Dengan sebab itu kedua-dua hadith ini tidak boleh difahami dengan makna mana-mana pihak samada pihak Saidina ‘Ali maupun Muawiyah yang betul atau salah. Sebaliknya golongan yang ketiga ya’ni puak-puak yang membunuh Saidina Utsman (yang menyusup masuk dan menyokong Saidina Ali)  adalah pihak yang salah dan penderhaka. Mereka jugalah yang membunuh ‘Ammar (di pihak Saidina Ali)  dan Zubair (di pihak Saidina Muawiyah).

Dalil bahawa bukan kumpulan Saidina Ali atau Saidina Muawiyah golongan penderhaka  adalah hadith yang sahih di bawah:

إن ابني هذا سيدٌ ولعل الله أن يصلح به بين فئتين عظيمتين من المسلمين
Sabdanya: Sesungguhnya cucuku ini (Hasan) akan mendamaikan antara dua pihak yang besar daripada orang-orang Islam. (Riwayat al-Bukhari)
Dan jelas golongan yang didamaikan oleh Saidina Hasan adalah pihak `Ali dan Mu`awiyah dan hadith ini menyebutkan فئتين عظيمتين من المسلمين ‘”dua pihak yang besar daripada orang-orang Islam” dan bukannya فِئَةُ الْبَاغِيَةُ ya’ni pihak penderhaka atau yang seumpamanya.

Tetapi malangnya apa yang disebarkan pada masa ini adalah sebuah sejarah perebutan kuasa di kalangan Sahabat sama seperti orang-orang politik di zaman kemudiannya walhal cerita sebenar bukannya begitu.

Sekiranya dihalusi dan diamati maka kita akan dapati bahawa `Ammar dan Zubair memang terbukti tidak dibunuh oleh kedua-dua pihak samada ‘Ali maupun Mu`awiyah bahkan pihak yang ketiga kerana mereka tidak dibunuh dalam perang tersebut bahkan dibunuh secara curi  di luar perang.

Ramai daripada kalangan Sahabat tidak mahu menyebelahi  mana-mana pihak bahkan ulama’ mengatakan separuh daripada Sahabat bersikap berkecuali sama ada dalam perang Jamal atau perang Shiffin. Antara mereka yang berkecuali ialah Abu Sa`id al-Khudri, ‘Abdullah Ibnu Umar, Sa’ad bin Abi Waqqash dan ramai lagi.

Ahlus Sunnah Wal Jama’ah berpendapat bahawa kita hanya boleh mengatakan bahawa apa yang terjadi adalah berdasarkan ijtihad masing-masing dan ianya bukan secara sengaja.  Mana-mana Sahabat yang  mati akan mendapat pahala kerana masing-masing berijtihad  demi untuk menegakkan kebenaran.

Sikap yang terbaik untuk kita adalah sebagaimana yang penulis Jauharah al-Tauhid nukilkan: “Apa yang terjadi antara Sahabat hendaklah kita diam”,  kerana kita mungkin  melampau dalam menilai peristiwa tersebut. Boleh jadi kita akan tersilap  lalu ‘menghukum’ orang yang tidak bersalah sepertimana yang berlaku kepada golongan Khawarij dan Syi`ah. Wal `Iya Zubillah!.

Bagi kita Ahlus Sunnah,  ini adalah ijtihad Sahabat-sahabat rhum.  yang  bertujuan untuk menyelesaikan cara hukuman terhadap pembunuh Saidina Utsman, yang berlarutan  sekian lama. Sebelum peperangan Shiffin meletus, Mu’awiyah sudah hampir dapat menyelesaikan kes ini tetapi akhirnya tergendala kerana penghasut-penghasut yang berpura-pura menjadi pengikut setia Saidina ‘Ali. Hasil dari hasutan golongan ini, Abu Musa al-Asy’ari digambarkan sebagai orang yang bodoh kerana terpengaruh  dengan kata-kata pihak Mu’awiyah. Hakikatnya,  Abu Musa al-Asy’arilah yang membawa kejayaan sehingga betul-betul hampir dengan perdamaian tetapi pihak ketiga yang menghasut dan menghancurkan perdamaian tersebut sehingga tercetusnya perang Shiffin.

Peperangan Shiffin berlaku di antara Sahabat-sahabat dan  kita tidak menghukum mana-mana pihak sama ada pihak Saidina  ‘Ali maupun pihak Mu’awiyah sebagai pihak “baghiah” (penderhaka). Dalam Nahjul Balaghah (kitab Syiah) ada disebutkan kenyataan Saidina ‘Ali: “Kita tiada beza dengan pihaknya (Mu`awiyah), dia Islam dan kitapun Islam, kiblatnya sama, rasulnya sama, apa yang berbeza hanyalah berkenaan darah Saidina Utsman. Kita tidak menganggap dia itu baghi dan dia tidak anggap pihak kita yang baghi”. Ini menunjukkan Saidina `Ali tidak mengkafirkan pihak Mu`awiyah.  Pada masa itu  tidak  timbul masalah kafir mengkafir  antara mana-mana pihak.

Wallahu`alam.
Ibnu Hasan,
Kota Bharu, Kelantan

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s